Dengan Bismillah mula dikata
Mengingati kebesaran Allah yang mulia
Kerana wajib telah ternyata
Segala perbuatan mahulah diserta
Seni Gayong payung pusaka
Naungan aneka hikmat mulia
Rahsia tersimpan di purbakala
Ilham menyusul zahir semula
Niat yang bersih baunya suci
Berseru kepada putera dan puteri
Agama yang mulia dijunjung tinggi
Belalah bangsa, adat dan negeri
Gayong bercantum bersatu padu
Mengingat junjungan empunya seru
Sama sendiri bantu membantu
Selamat sejahtera hajat dituju
Matahari terbit Palembang Seguntang
Tanahnya subur ditanam padi
Keris dihunus, dipegang, dijulang
Kesatriaan pahlawan timbul kembali
Gayong emas kendi pusaka
Bekalan air raja kesakti
Keris kuhunus langkah ku mula
Bangsa Melayu sudah terpuji
Besi kuning besi kesakti
Anak panah Sang Rajuna
Kembali Gayong kebudayaan asli
Di Tanah Melayu hulubalang tua
Tempana Nipis nama asalku
Keris pusaka Ratu Dewangga
Niat derhaka kepada rajaku
Taming menyerah keris pusaka
Tempana Nipis nama asalku
Besi tua di Tanah Jawa
Hidup kembali kebudayaan bangsaku
Tidak Melayu hilang di dunia
Majapahit nama negara
Tempat ratu raja Jawa
Kalau diguna akal bicara
Kebudayaan Melayu subur semula
Seni Gayong seni asli
Dewi pusaka ibu pertiwi
Umat Melayu menjunjung tinggi
Akhir hayat tidak dilupai
Seni Gayong sudah terpuji
Dijunjung oleh seluruh negeri
Pemuda-pemudi harus pelajari
Agar Gayong kekal abadi
Seni Gayong seni Melayu
Tidak senang untuk ditiru
Taat setia untuk mengaku
Supaya menjadi lambang Melayu
Seni Gayong seni pusaka
Junjung oleh putera negara
Supaya digiat taat setia
Amanah guru harus dijaga
Wajarkah Silat Seni Gayong diajar kepada mereka yang tidak mengucap dua kalimah syahadah?
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan